Sunday, April 20, 2014

Lebih 10 hari menjadi 30

Lama rasanya sudah tidak menulis. Sedar atau tidak umurku telah mencecah 30 tahun lebih 10 hari yang lepas. Alhamdulillah aku juga kini meniti hari untuk bergelar sebagai seorang suami. Ianya bukanlah suatu perjalanan yang mudah, aku telah menemui dan mengenali ramai wanita, merasai pelbagai emosi yang mencengkam jiwa. Telah aku ceritakan bagaimana kecelaruan diri apabila menaruh harapan kepada NJZ dan EY. Kedua-duanya telah kulamari tetapi hampa kerana jawapan yang mereka beri tidak memihak kepadaku. Mungkin perasaan mereka tidak seperti perasaanku terhadap mereka. Aku mengundur diri dari terus mengharap kerana aku yakin jika keadaan adalah terlalu sukar maka tiada guna untuk memaksa. Usaha untuk melupai mereka tidak akan berhasil jika aku tidak mencari pengganti yang aku sukai, mula2 aku ditawarkan oleh NSA untuk menghampiri kembarnya yang baru sahaja putus tunang, tetapi hatiku terasa berat untuk meneruskan. Setelah sebulan baru aku menanyakan kembali kepada NSA sama ada kembarnya masih boleh dihampiri. Seperti yang aku jangkakan, kembarnya itu kembali berbaik dengan bekas tunangnya dan kini mereka hanya menunggu hari untuk membina masijd, sama seperti kes aku.
Di antara tempoh sebulan itu, aku juga telah mencuba satu perkhidmatan dalam talian di mana muslimin dan muslimat dapat berkenalan antara satu sama lain. Aku menciptakan profil aku dan menegur seramai mana muslimat yang aku berkenan. Ada satu yang bergitu yakin bahawa aku adalah yang terbaik untuknya. Katanya gerak jiwanya telah mengajak aku untuk terus masuk meminangnya. Walhal yang memusykilkan aku adalah kerana tiada gambar langsung di profilnya mahupun di FB. Akhirnya setelah diminta, dia memberikan gambarnya kepadaku. Namun hatiku tidak berkenan dan aku menolak dia dengan cara yang baik. Kemudian aku telah berborak secara maya juga terima kasih kepada perkhidmatan talian itu dan bertemu dengan HC. Ketika itu menghampiri bulan Ramadan dan kami akhirnya bertemu pada bulan puasa itu untuk menunaikan qiyamulail di masjid UIA. Pertama kali aku menemuinya dia malu2 kucing dan keesokan paginya setelah berqiyam dia menangis kerana aku haru pulang. Aku tersentuh dan hubungan aku berlanjutan sehingga raya aidilfitri menjelma dan dia telah mengundang aku dan keluarga ke rumahnya. Kerisauannya terhadap penerimaan kami terhadap kehidupannya adalah berasas kerana setelah kunjungan aku dan keluargaku ke rumahnya kami tidak berkenan. Ibubapanya dari seberang dan kehidupannya agak dhaif. Keluargaku dan juga aku sendiri risau dengan masa depan kami sekiranya kami meneruskan hubungan kami. Dia juga telah kutolak dengan baik. Setelah itu ada kawanku dari PEP aku telah cuba untuk mengenalkan aku dengan seseorang namun citarasaku tidak kena terhadap mereka.
Pada suatu malam yang dingin, aku mengambil keputusan untuk melayari FB dan menambah kawan yang aku rasakan cantik dan kena dengan cita rasaku. Selang dua hari ada seorang yang kutambah telah menerima aku. Aku berborak secara maya dan aku dapat merasakan bahawa terdapat kimia antara kami. Selang seminggu berborak, kami telah mengambil keputusan untuk berjumpa di sebuah restoran arab di bulatan. Keesokannya pula aku telah menemani dia ke Selatan tanah air. Mungkin aku tertarik kepadanya lantas aku menemaninya. Dari satu ke satu perjumpaan akhirnya kami mengambil keputusan untuk mmengikat talian. Bermula dengan pertunangan di hujung tahun, kami bersetuju untuk bernikah pada akhir bulan Mei tahun ini. Aku memilih dia kerana jauh di lubuk hati ini aku merasakan bahawa aku tidak akan berjumpa gadis secantik dan sebaik dia yang akan menerima aku seadanya. Yang paling penting adalah kimia yang tercetus antara kami.