Saturday, January 28, 2012

1 - Bersyukur dan berfikir tentang diri

Sekali-sekala aku akan duduk bersendirian memikirkan tentang apa yang aku ada dan apa yang telah terjadi. Walau dengan banyak kekurangan yang kerap mengganggu pemikiranku, tetapi apabila difikirkan dengan teliti, aku telah dikurniakan pelbagai rahmat, terlalu banyak jika dibandingkan dengan kekurangan yang ada.

Aku dilahirkan cukup sifat. Mempunyai mata untuk melihat, mulut untuk bercakap, telinga untuk mendengar dan kakitangan untuk bergerak dan membuat kerja. Walaupun mataku sedikit kabur apabila tidak memakai cermin mata, aku masih boleh melihat. Boleh melihat alam dan kecantikan dunia. Aku harus bersyukur. Jikalau tidak, tentu sekali aku tidak dapat menaip untuk wacana ini.

Aku sedar aku tidaklah sekacak mana, badan tidak segagah badang, perut sedikit buncit tetapi aku lebih baik dari mereke-mereka yang mempunyai cacat dan cela. Seburuk-buruk apa yang aku fikirkan tentang diriku, ada banyak lagi yang lebih buruk dari aku. Tidak dinafikan ada banyak yang lebih baik dariku, itu adalah mereka, mungkin mereka lebih pada sesuatu dan kurang pada sesuatu. Aku tidak harus mencemburui mereka walhal membenci mereka kerana kelebihan mereka. Aku hanya patut berasa senang dengan ciptaan tuhan yang maha cantik dan pelbagai.

Aku masih sendiri tanpa mempunyai teman istimewa. Umurku kini yang telah mencecah 28 tahun mengundang pelbagai pertanyaan dan cadangan untukku berkenalan dengan pelbagai gadis. Namun aku mempunyai kekasih yang Maha agung iaitu Allah, Dia yang mendengar segala rintihanku tanpa jemu dan memberi ketenangan apabila aku memanggilNya. Dia Maha pemaaf dan sentiasa memberi rahmatnya walaupun aku sentiasa melakukan dosa-dosa terhadapNya. Aku juga mempunyai ahli keluarga yang harmoni dan menyayangi aku tanpa syarat. Sentiasa bertanyakan khabarku dan ingin selalu berkongsi pengalaman hidup bersamaku. Tetapi adakalanya aku memilih untuk merahsiakan beberapa perkara dari keluargaku. Aku sedar, sayang mereka terhadap aku tidak akan luntur demi masa.

Aku bersyukur mempunyai keluarga, kenalan dan sahabat handai yang sentiasa ingin melayan karenahku. Mendengar percakapan aku walaupun adakalanya aku menyakitkan hati ataupun mengarut. Kawan untuk bergurau senda walaupun mungkin aku ada mengguris hati mereka.

Mungkin aku tidak terlalu kaya dimataku tetapi aku lebih kaya berbanding mereka yang hidup bergelandangan. Pandanganku, persepsiku selalu sahaja menyatakan apa yang tidak cukup tetapi jarang untuk sedar dengan limpahan kurnia dan rezeki yang telahku nikmati. Adaklanya aku ditimpakan dengan musibah agar merasa kepayahan hidup did dunia. Baru sedikit takkan aku harus bersedih selamanya. Setiap kejadia itu sesungguhnya mempunyai pengajarannya yang tersendiri. Setiap makhluk yang ketemui adalah guruku dalam memnempuh alam yang fana ini. Aku harus bersabar dan menerima kekurangan dan kelebihan makhluk lain.

Bagiku, tiada yang sempurna. Setiap yang kelihatan sempurna pada mataku mungkin mempunyai seribu satu masalah yang tidak disedari olehku. Hanya Allah yang Maha mengetahui. Dia lah yang maha Adil.

Tidak guna bersedih tentang apa yang aku tidak ada, sebaliknya bergembiralah dengan apa yang aku ada.

0 - La Tahzan

La Tahzan bermaksud jangan bersedih. Sebuah penulisan menarik oleh tokoh terkenal Dr. 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni. InshaAllah penulisanku di sini, bermula hari ini dan hari-hari seterusnya akan menyentuh secara peribadi topik-topik yang telah ditulis oleh beliau. Tujuan perungkaian topik-topik diharap akan memberikan aku suatu keinsafan tentang hidup dan perjalanan singkatku di dunia yang fana ini. InshaAllah akan juga menjadi pendoman oleh pembaca lain yang mengunjungi laman ini.